Selesaikan Belajar, Jangan Beraktivisme semata…

Kadang-kadang, saya terfikir. Apakah pra syarat menjadi aktivis, harus habis selesaikan belajar (formal) terlebih dahulukah?

Jika begitu, apa maksud aktivisme bagi sekumpulan orang kampung yang berusaha mahu memastikan kampung mereka bersih, lalu memperjuangkan masalah mereka kepada pihak berwajib dengan melakukan aktiviti2 sewajarnya dalam ruang lingkup faham aktivisme sehinggalah pihak PBT ‘turun padang’ dan melaksanakan tugas sewajarnya.
Apa pula maksud aktivisme bagi para petani yang berusaha memastikan tanaman mereka tidak dicemari benih-benih GMO yang selalunya digandingkan dengan racun-racun serangga/rumpai; lalu mereka berorganisasi dan beraktivisme sehinggalah gagasan mengekalkan benih organik (bukan hibrid gmo) dapat dihormati oleh sesebuah kerajaan.
Masyarakat seperti ini boleh jadi hampir semuanya tidak ada atau belum berpeluang belajar tinggi-tinggi. 
Tetapi, dalam banyak-banyak, mungkin sekumpulan kecil yang berpeluang untuk mempunyai kesedaran itu dan mampu mengkoordinasi masyarakatnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah setempat.
Mungkin jawapan yang wajar bagi persoalan di atas ialah; untuk menjadi seorang aktivis, memadai anda mempunyai maklumat dan ilmu minima untuk anda bergerak sebagai seorang aktivis. Tetapi, untuk menjadi seorang aktivis yang berkesan, harus sentiasa mengislah diri dengan mempertingkatkan Ilmu dan ilmu pengetahuan dalam sesuatu bidang atau perjuangan serta berusaha mencari sudut kepakaran supaya ilmu itu bermanfaat kepada masyarakat di luar sana. 
Membaca, berwacana, berorganisasi dan berGuru.

Idea Menulis..

NOTA PAGI AHAD

Saya ini orang biasa. Diberikan peluang untuk berkhidmat bersama NGO dan agensi separa kerajaan. Dan sudah tentu, masih relatif muda.
Tapi diberikan peluang untuk memerhati tentang apa yang sedang berlaku, baik kalangan industri, agensi dan kerajaan dalam usaha mereka menggunakan platform masing-masing atas niat murni; memberikan makna dalam penciptaan institusi dan diri mereka sebagai individu.
Komunikasi,  sentimen tak berasas, dan ‘talent’; adalah tema2 penting yang menjadi isinya. Begitu juga perihal dalam organisasi membisu, bila sudah keluar, memekak.
Ada peluang, satu hari nanti, moga diberikan kekuatan merungkai dan menulis dalam tema ini.

Melihat Pohonan Hijau di Tebang

Ke hadapan kamu,

Melihat pohon hijau yang rimbun ditebang atas nama pembangunan, adalah suatu yang menyakitkan hati. Pohon itu adalah sebahagian dari kita.

Sebagai insan, kita mengeluarkan gas Karbon Dioksida, manakala si pohonan hijau mengeluarkan Oksigen untuk kegunaan kita.

Kita selalu alpa, tidak mengenang budi dan lupa diri.

Faham Pembangunan yang menjurus ke arah mengorbankan alam sekitar demi maslahah insan; adalah suatu faham yang sempit dan dangkal. Faham itu hanya diimani oleh mereka yang cetek fikirannya, celaru hatinya.

Jika kamu, seorang yang berhati celik, dakapi pohonan hijau, jangan dibiar pohonan hijau diratah insan yang rakus dunia. Kelak, kamu akan menyesal.

Ke hadapan kamu,

Hari ini adalah hari keempat kepulangku ke pangkuan keluarga. Setelah hampir 19 hari bertugas di Arab Saudi. Tempoh yang agak panjang sebenarnya.

Dalam tempoh tersebut, 15 hari aku berada di Riyadh, 1 hari di Madinah Munawwarah, dan 2 hari di Makkah alMukarramah.

Aku masih angau. Jiwaku masih di Mekah. 2 hari lepas pulang, aku mimpi beribadat di Mekah. Keesokkan haronya aku bermimpi beribadah di Masjid Nabawi.

Masih aku teringat, ketika solat subuh sewaktu dalam penerbangan ke Malaysia, aku tak dapat menahan sebak apabila menunaikan solat subuh menghadap dinding, sedangkan beberapa jam yang lalu, aku solat menghadap Kaabah!

Ke hadapan kamu,

Aku berharap agar diberikan peluang untuk menziarahi bumi Mekah dan Madinah sekali lagi. Bersama keluarga dan anak-anak.

Aku berharap juga agar impak islah ini terus berkekalan hingga aku bertemu denganNya. 

2 Hari sebelum penerbangan

Ke hadapan kamu,

Hari ini saya ambil cuti untuk ke bengkel kereta, menukar alat ganti gear yang rosak. Saya bakal tinggalkan Malaysia dalam satu tempoh yang agak lama. 7 mac hingga 21 mac.

Terlibat buat kali pertama mengikuti delegasi Malaysia ke International Riyadh Book Fair. Kemudian inshaAllah, mengerjakan umrah, sebelum pulang ke Malaysia.

Setinggi-tinggi kesyukuran kerana diberikan peluang untuk merasai nikmat menjiwai ketak sabaran untuk ke tanah suci mekah nanti.

Syukur kerana umi mu sudah boleh membawa kereta menuju ke taskamu. Semoga Allah memudahkan urusan kalian selama abi di tanah air orang.

Abi akan catatkan pengalaman abi nanti. Untul tatapan kalian, bahawa kehidupan adalah sebuah pengembaraan.

Dan rezeki adalah rahsia Ilahi. Demi Allah, tiada siapa yang tahu selagi belum merasainya.

Syukut selalu, anak-anak.

Kerancuan Ilmu Pada Hari ini

Ke hadapan mu,

Benar sepertima pesan Prof al-Attas. Bahawa kami sedang hidup di zaman berlakunya kerancuan ilmu. Kehilangan adab menjadi faktor melaratnya korupsi ilmu yang sedang menimpa umat. 

Seakan-akan sudah menjadi suatu kebiasaan pada hari ini, para alim ulama dicerca atas nama para alim keluarkan pandangan yang tidak sama dengan selera individu yang mencerca.

Sebagai orang awam, seharusnya ada ‘reservation’ untuk memahami sesuatu pandangan orang alim.

Siapa yang menentukan seseorang itu alim atau tidak? Apa sikap kita terhadap orang yang berbeza pandangan, lebih-lebih lagi yang alim?

Sikap berhati-hati mesti menjadi pegangan. Tapi berhati-hati bukan bermaksud penakut.

Sebagai insan, kritikan itu penting untuk proses islah. 

Sebagaimana kita berani keluarkan pandangan yang bebas, orang yang sama harus berani untuk terima kritikan bahawa hasil cara mereka berfikir itu mungkin tidak betul menurut neraca ilmu.

Sekian.

Kualiti Pilihan Pembaca Hari Ini

Ke hadapanmu,

Aku menulis untuk memberitahu dan bercerita. Ia bacaan untuk generasi selepas ku. Warisku. Supaya mereka tahu apa yang sedang berlaku hari ini. Apa yang ditempuhi untuk meneruskan kehidupan yang sarat dengan cita-cita dan tanggungjawab.

Menyimpan catatan,pada hari ini, umpama kilang kekayaan, bagi yang pandai menjadikan ia sebagai sumber pendapatan di kala kos sara hidup yang semakin tinggi. Hari ini, catatan yang dapat diterima orang adalah cerita yang kontroversi dan menginspirasikan, adakala karya tidak bernilak turut menjadi belian orang ramai.

Aku menulis dipelbagai medium media sosial, tapi tidak dijual. Aku yakin catatanku adalah penting untuk generasi masa depan tapi, aku bukan sesiapa, jadi ia tersimpan.

Seolah-olah, dan nampak gayanya, jika kita berpegang kepada kebenaran dan tahu suatu yang penting, belum tentu ia boleh difahami masyarakat yang membacanya. Sebab masyarakat suka perkara yang trending. Tidak kisah benar atau salah, yang penting pantas dan menarik persembahannya.

Apakah itu kualiti dan trend yang mahu diteruskan? Maka selamanya kebenaran dan kepentingan sesuatu info itu tersimpan dalam helaian buku dan tersembunyi dalam alamat-alamat laman sesawang/blog.
Sekian.